Saturday, 2 August 2014

Hikmah Bisnes Puan Ainon

KALIMAH BISNES YANG SAYA BELAJAR DARI PUAN GURU AINON MOHD.

Kami beserta 60 orang pernah menjadi anak murid puan Ainon dalam mempelajari hal ehwal bisnes. Dato Roslan sudah mencatat hampir 1000 kalimah bisnes Puan guru dalam tempoh  20 bulan. Dato kongsikan sedikit demi sedikit secara bersiri supaya idea bisnes ini tersebar. Doakan ada manfaatnya.

1. Orang tidak membeli penggali. Orang mahu lihat lubangnya. Usah gaduh jual ciri ciri penggali. Jual manfaat adanya lubang dengan guna penggali. Usah ralik jual gincu. Jual bagaimana gincu dapat jadikan bakal pembeli lebih jelita.

2. Orang yang baik akan menjadi lebih baik apabila duitnya lebih banyak.

3. Lancarkan lidah untuk mudah berkata mesra kalimat berikut, "Saya kagum!" "Saya suka!" dan "Allah pasti memberikan pahala buat tuan." Kalimah ini sungguh berkuasa.

4. Bakat nampak duit di mana-mana adalah bakat yang bagus. Bakat itu juga boleh menyebabkan pemilik bakat itu tidak akan menjadi jutawan.

5. Apabila memulakan bisnes, mula-mula memang kita boleh buat semua kerja sendiri-sendiri. Tapi, jangan lama-lama berada dalam fasa ini. Cepat-cepat ambil staf. Biar kita ikat perut tak ada gaji, gunakan duit yang ada bagi membayar gaji staf.

6. Dalam logik bisnes, kita tengok hasil "prinsip kedegilan" kita dengan menganalisis akuan bank kita. Apabila prinsip degil bertempatmenyebabkan pengurus bank suka tengok muka kita, teruskan dengan dasar degil kita itu. Apa yang pengurus bank suka tengok adalah akuan bank kita sangat aktif.

7. Kata Usahawan Cina, "kalau kawan susah, tolonglah dia. Janganlah dipijak lagi"

8. Ada mitos dalam minda orang awam, kalau kita menceburi bidang yang kita minati maka kita akan berjaya. Ceburi bidang yang kita ada bakatnya, apabila berjaya kita akan meminatinya. Apabila pilih bisnes, pilih bisnes yang kita mempunyai bakat untuk bisnes itu. Usah pilih bisnes kerana kita menyukai bidang itu.

9. Kemurahan hati akan menarik perhatian pelangggan

10. Idea yang disebarkan akan menang.

11. Apabila mahu membesarkan bisnes, pinjam duit bank untuk beli bangunan. Apabila berlaku sesuatu yang tidak diingini jual bangunan itu untuk bayar baki pinjaman. Usah pinjam duit bank sebab kita mahu menampung kekurangan duit operasi. Pembesaran operasi mesti guna duit simpanan hasil keuntungan selama ini.

12. Bagi orang muda yang mahu buka bisnes sendiri bekerjalah dengan syarikat yang bisnesnya serupa dengan bidang bisnes yang hendak diceburi.Jika mahu membuka kedai tayar, berkulilah dengan pekedai berjaya yang menjual tayar.

13. Ada 2 jenis hutang: Pertama, Hutang yang menyebabkan kita semakin miskin.
Kedua, Hutang yang membolehkan kita semakin kaya.

14. Ramai jutawan bermula dengan apa yang ada ditangan. Mereka tidak berhutang untuk memulakan bisnes. Mereka hanya berhutang apabila melepasi tahap survival dan bagi membiayai modal pusingan untuk mengembangkan lagi bisnes.

15. Orang lain melihat peluang, kita melihat persaingan. Peniaga Cina memberi modal kepada kulinya yang mahu membuka bisnes yang serupa. Ini strategi membesarkan bisnes dengan prinsip sama-sama untung.

16. Bakat adalah modal penting dalam memulakan bisnes. Pilih bidang bisnes di mana bakat-bakat yang kita miliki adalah modal pentingnya. Bakat dapat diasah apabila bakat itu wujud. Dapatkah diasah parang yang tidak wujud?

17. Ada 2 jenis bakat bisnes:

Pertama, Bakat intrapreneur -- Intrapreneur pandai menjalankan duit modal besar yang disediakan oleh lembaga pengarah syarikat. Mereka pandai bekerja dalam budaya birokrasi.

Mereka pandai menyediakan pelbagai kertas kerja dan laporan. Mereka juga pandai bermain business politics. Mereka juga pandai bekerja di bawah banyak ketua.

Kedua, Bakat entrepreneur -- Entreprenur pandai mencari duit modal sendiri dan pandai menjalankan bisnes dengan duit modal yang sangat sedikit.

Apabila intrapreneur membuka bisnes sendiri, mereka umpama ikan laut yang melompat masuk ke dalam sungai.

18. Usah beli kereta besar dahulu. Beli kawan kawan bisnes dahulu. Satu hari nanti mereka akn menghadiahkan kereta besar yang kita mahu, lengkap dengan pemandunya sekali.

19. Usah buat produk baru. Apa apa yang amat baru, pasaran sukar dipujuk untuk menerimanya. Ambil produk lama. Ciptakan nilai nilai baru pada produk itu. Orang bukan sangat cari benda baru. Orang sibuk mahu kepada nilai baru.

20. Skill bisnes yang paling penting adalah berfikir sebagai Strategist.
Lain-lain thinking kita boleh bayar orang lain supaya tolong kita untuk memikirkannyaBerikut adalah sambungan dari 1001 kata hikmah kebijaksanaan bisnes yang beliau perturunkan.

21. Berbeza antara tahap amatur dengan professional dalam kemahiran menghidu duit. Bezanya pada cara berfikir dan betapa besar minda mampu berimaginasi .

22. Pekerja yang setia lebih bermotivasi dan sedia meletakkan nyawanya untuk majikan. Belajar prinsip dan motivasi ditempat kerja. Apabila staff kita bersemangat bekerja, barulah banyak duit mengalir masuk, barulah akauntan kita seronok buat kerja.

23. Muka kita adalah marketing kit yang sangat efektif.

24. Modal sosial adalah modal yang lebih besar peranannya dalam kejayaan bisnes dibandingkan dengan modal duit.

Apabila modal sosial kita miskin, itulah yang menyebabkan kita memerlukan banyak modal duit.

25. Cara termudah untuk kembangkan modal sosial dalam dunia teknologi terkini adalah melalui FB. Setiap kali membaca profail warga-FB, inilah antara persepsi yang tercipta dalam minda :

Pertama, Apabila dia tidak tunjukkan mukanya. -- Saya tidak boleh percaya orang ini.

Kedua, Apabila dia tidak tulis banyak maklumat tentang dirinya. -- Siapa dia ini? 
(saya KIV)

Ketiga, Apabila dia tunjukkan foto muka anak, tetapi dia kata dia mahu buat bisnes. -- Dia ini tidak membaca buku-buku panduan bisnes. Tip internet marketing dalam Google yang banyak itu pun dia tidak baca.

26. Apabila kita pilih rakan kongsi, usah pilih orang yang hanya ada modal duit. Orang yang mempunyai banyak duit hanya mahu mengeluarkan duitnya sahaja. Nanti kita akan penat bekerja untuk duitnya. Pilih rakan kongsi yang banyak mempunyai modak diri dan modal sosial. InsyaAllah, duit akan datang dengan sendirinya.

27. Ada dua fasa bisnes yang penting dipelajari. Pertama, memulakan bisnes. Ini memerlukan bakat entrepreneur. Kedua, membesarkan bisnes. Ini memerlukan bakat intrapreneur. Beli segera bakat ini. Harganya mahal. Beli juga dengan segera. Lazimnya towkay yang membuka bisnes mempunyai bakat entrepreneur sahaja. Mereka suka amal pengurusan towkay. Pengurusan towkay tidak mengembangkan bisnes. Yang mengembangkan bisnes adalah pengurusan sistem.

28. Entrepreneur adalah orang yang pintar melihat peluang yang ada serta pandai memanfaatkan peluang. Bakat dan kebolehan sangat diperlukan semasa tahap survival. Mereka teruja berdepan cabaran perang di medan bisnes. 

Mereka pandai cari duit. Apabila bisnes sampai tahap stabil dan perlu berkembang, mereka akan cepat rasa bosan dan mula sibuk mahu merangka perkara lain pula. 

Intrapreneur suka bertindak mengurus duit sedia ada untuk beranak lagi. Mereka adalah growth strategist. Intrapreneur tidak pandai memulakan sesuatu yang baru. Mereka sungguh cekap melihat sesuatu yang ada dan merangka strategi bagi membesarkannya. 

Strategi yang boleh dilakukan oleh intrapreneur merangkumi komunikasi korporat, menambah baik sistem, SOP, menambah baik 'funnel', mengurus sempurna projek telah peroleh dan menambah baik hubungan dengan pelanggan telah ada.

Intrapreneur adalah Ansar yang suka duduk dalam bangunan didepan computer dan dalam bilik mesyuarat seumpama Ansar suka melihat perkebunan hijau lading kurma mereka.

Entrepreneur adalah Muhajirin yang suka keluar bangunan cari pasaran, suka berdagang merentas gurun panas terik.

29. Sahabat sahabat bisnes adalah sumber peluang kita untuk membesarkan bisnes kita. Cari kawan dari usahawan yang berjiwa entrepreneur dan ada menggaji intrapreneur bagi memastikan pengurusan syarikatnya bersistem. 

Kurangkan berkawan dengan bisnesman yang berjiwa towkay yang mengawal sendiri secara solo semua perjalanan syarikatnya..

30. Majoriti 'usahawan segera' yang dihasilkan oleh program-program keusahawanan menjadikan usahawan itu menanggung beban hutang, apabila:

Pertama, dalam kursus yang diberikan, mereka memang digalakkan berhutang. Mereka diajar bagaimana menyediakan kertas projek bagi mendapatkan pinjaman.

Kedua, mereka mendapat harapan palsu kononnya hutang itu akan dapat dibayar dengan keuntungan dari bisnes yang dijalankan.

Ketiga, mereka tidak diberitahu bahawa 93% bisnes tutup dalam tempoh 3 tahun selepas dibuka.

Keempat, mereka tidak diberitahu 80% bisnes yang dimulakan dengan duit hutang bank dan grant kerajaan tutup dalam keadaan rugi

"Idea yang disebarkan akan menang." --> Marketing gaya-Nabi.



31. Ilmu andragogi, iaitu sains yang mengkaji bagaimana orang dewasa belajar, adalah ilmu yang digunakan semasa menjalankan sesi training korporat. Manakala ilmu pedagogi adalah sains yang mengkaji bagaimana kanak-kanak belajar, yang digunakan oleh guru-guru sekolah.

32. Trainer berdiri di hadapan peserta kurang 30% daripada waktu training. Beri 50% kepada sesi aktiviti. Beri 20% waktu kepada peserta berdiri di hadapan.

33. Apa yang disebut 'kelok belajar' (learning curve) sangat penting aplikasi dan peranannya apabila kita men-desain konten kursus. Ini bagi mengelakkan fenomena di mana, makin banyak trainer bercakap, makin sedikit maklumat yang masuk ke dalam otak peserta.

34. Semasa pasaran masih mentah, apa-apa modul training dapat dijual. Namun hari demi hari pasaran training semakin matang. Pemain baru makin banyak memasuki pasaran. Pengurus-pengurus jabatan latihan makin berpengetahuan tentang ciri-ciri modul yang kualitinya bagus. Mereka mula bertanya "Apa teori, pendekatan dan metodologi yang digunakan dalam modul tuan?

35. Dalam sesi training, peserta mesti yakin bahawa mereka mendapat skill-skill baru yang sebelumnya mereka tidak tahu.

36. Sesi guided-discussion disukai oleh orang dewasa. Peserta dewasa, lebih-lebih lagi peringkat eksekutif, tidak suka apabila trainer bertanya kepada mereka, dan meminta mereka menjawab. Cara itu adalah cara yang digunakan oleh guru2 dalam bilik darjah apabila mengajar murid.

Dalam sesi guided-discussion, soalan2 dicetak di bawah apa (hadith) yang mereka pelajari. Trainer tidak bertanya, dan mereka tidak diminta menjawab. Mereka diminta berdiskusi sahaja dengan rakan sebelah mereka.

37. : Peserta eksekutif suka bertanya, trainer yang menjawab. Mereka tidak suka trainer yang bertanya dan suruh mereka menjawab. (Itu cara guru mengajar budak-budak sekolah!). Apabila peserta mahu "jadi budak-budak" itu tidak apa-apa. Yang tidak boleh dilakukan oleh trainer adalah "melayan eksekutif macam mereka itu budak-budak".

38. Peserta tidak suka digurui. Kita berkongsi. Elakkan ayat menggurui. Orang dewasa suka belajar, tetapi mereka tidak suka diajar-ajar. Dalam pada itu, ingat tip penting, Jangan menasihati pelanggan dalam hal-hal peribadi.

39. Salah satu faktor yang menyebabkan peserta kursus suka belajar dari trainer adalah apabila jurang psikologi antara trainer dengan peserta menjadi rapat. Caranya adalah dengan trainer menampilkan dirinya hampir serupa dengan penampilan peserta, bercakap lebih kurang macam mereka.

40. Akibat teknologi digital, pendapatan penyanyi daripada jualan album elah jatuh merudum dengan teruknya. Lalu mereka terpaksa menggantikan sumber pendapatan dari royalti kepada jualan tiket pertunjukan roadshow. Teknologi digital juga akan mencipta pukulan serupa ke atas jualan buku-cetak. Penulis perlu meningkatkan pendapatan daripada yuran ceramah dan training yang didasarkan pada buku yang mereka tulis.

(Nota: Itulah untungnya apabila Penulis boleh bercakap.
Penulis wajar belajar Public Speaking Mastery)

41. Tip memulakan bisnes sendiri: Pilih bisnes apa yang kita mahu buka. Sebagai contoh, kita mahu membuka bisnes kedai peralatan pengantin. Bekerjalah dengan kedai peralatan pengantin selama 3 tahun (serupa tempoh dengan ambil ijazah universiti). Buat semua jenis kerja, apa yang towkay suruh, buat semua. Dari situ kita dapat banyak pelajaran dan selok belok bisnes kedai peralatan pengantin.

(Saya mahu terlibat dalam bisnes training. Sebermula dari April, 2011 saya berkuli. Saya berikan 60 bulan berkuli. Sehingga Mac, 2016 saya berkuli.
Berdepek dan membontoti).

42. Kelebihan bertugas di dalam syarikat kecil dan sederhana: Kita diberi peluang melakukan banyak kerja dan macam-macam kerja. Jadi, dalam tempoh 5 tahun, kita sudah mengetahui bagaimana sesebuah syarikat itu diurus, lalu kita lebih bersedia memulakan syarikat sendiri.

43. Berhenti kerja dengan kerajaan. Bekerja dengan syarikat yang bisnesnya serupa dengan bisnes yang kita mahu buka. Bekerja 2 tahun minimum. Sambil bekerja, dapatkan kepercayaan semua pembekal. Belajar bagaiman pengedaran dan jualan dilakukan. Apabila sudah bersedia, berhenti kerja. Mulakan bisnes sendiri.

44. Ini nasihat emas. Usah lihat pada umur. Banyak pegawai kerajaan melakukan kesilapan. Mereka berhenti kerja, terus buka bisnes. Jadi mereka belum mempunyai maklumat dan skill menjalankan bisnes, maka banyak kesilapan mahal yang dilakukan.

45. Tip membuka cawangan baru: Pilih lokasi paling dekat. Kos mengurus lokasi yang jauh adalah tinggi, jadi walaupun nampaknya macam di sana jualan lebih bagus, tetapi margin keuntungan boleh habis ditelan oleh kos pengurusan yang tinggi.

46. Seni menyukakan hati orang lain adalah salah satu modal utama dalam perniagaan. Ia aspek wajib dimasukkan dalam dimasukkan dalam program usahawan.

47. Di kalangan peniaga Melayu yang tidak bergantung kepada kontrak kerajaan, masing-masing mempunyai banyak pengalaman bagaimana mereka telah banyak dibantu oleh peniaga-peniaga Cina. Tanpa bantuan dari pembekal Cina mereka tidak dapat menjalankan bisnes mereka. Dalam bisnes, duit tidak kenal bangsa. Duit cuma kenal duit. Usah musuhi orang Cina andai kata mahu lama dalam dunia bisnes.

48. Pembekal kita adalah rakan niaga kita. Apabila mereka untung, barulah bisnes kita dapat maju dan membesar. Pastikan supaya pembekal kita buat untung apabila berniaga dengan kita. Nanti mereka akan pastikan bisnes kita terus kekal dan membesar, sebab mereka mahu terus berniaga dan buat untung dengan kita.

49. Pembekal kita adalah rakan niaga kita. Apabila mereka untung, barulah bisnes kita dapat maju dan membesar. Pastikan supaya pembekal kita buat untung apabila berniaga dengan kita. Nanti mereka akan pastikan bisnes kita terus kekal dan membesar, sebab mereka mahu terus berniaga dan buat untung dengan kita.

Rangkaian pengedar kita juga serupa. Usah lagakan sesama mereka. Apabila mereka bergaduh, damaikan. Panggil dan baikkan mereka. Taktik Pecah dan Perintah tidak sesuai samada dalam bisnes ataupun politik. Dalam dunia langit terbuka tiada rahsia antara kita.

(Pengalaman Puan Ainon; Ada 2 pembekal utama PTS - yang mana PTS bergantung nyawa bisnes kepada mereka - mereka adalah (i) Penulis, (ii) Pencetak. Semua penulis ditawarkan skim ganjaran yang serupa. Semua pencetak dilayan sebagai rakan-niaga yang sama statusnya)

50. Sentiasa tolong bisnes rakan-rakan peniaga lain. Jangan anggap mereka pesaing kita. Apabila bisnes mereka berkembang, barulah bisnes kita dapat berkembang. Jangan berebut kek yang kecil. Besarkan kek yang kecil, supaya kek menjadi lebih besar. Baru semua dapat makan banyak.

Strategi tolong-menolong adalah strategi yang sangat menguntungkan kita sendiri. kita fikir apa yang baik untuk diri kita. Apabila kita bersaing (compete), otak kita akan memikirkan bisnes orang lain dan bagaimana mahu mengalahkan bisnes orang lain. Apabila kita bekerjasama (cooperate), otak kita akan fokus memiikirkan bisnes kita sahaja, bagaimana mahu memajukan bisnes kita bersama. Ini yang dipanggil berlumba lumba.

No comments:

Post a Comment